BATU GAJAH, 24 Februari- Penurunan nilai mata wang ringgit Malaysia tidak memberi kesan kepada sektor pelancongan negara, malah ia akan menarik lebih ramai pelancong luar terutama dari negara yang mempunyai nilai mata wang lebih tinggi untuk berbelanja di negara ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia sekaligus akan menjadikan Malaysia destinasi pelancongan yang kompetitif berbanding dengan negara-negara serantau seperti Singapura dan Thailand.
"Suatu ketika dahulu, ramai orang pergi ke Indonesia, pergi ke Thailand, sebab sana (mata wang) lebih rendah daripada duit kita, sebab barang lebih murah.
"(Tetapi) bukanlah saya minta duit (ringgit) jatuh tetapi dengan kejatuhan wang ringgit ini orang akan lebih berpusu-pusu untuk datang ke Malaysia, berbelanja kerana perbelanjaan lebih murah daripada negara lain. Jadi ini akan menarik perhatian orang untuk datang ke mari.
"Saya percaya di Johor pun ramai orang Singapura yang berkunjung ke Johor untuk membeli barang, sebab lebih murah di Johor," katanya kepada pemberita di sini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, Malaysia memerlukan nilai mata wang kukuh dan stabil bagi pengukuhan ekonomi terutama perdagangan dan import eksport.
Terdahulu, Saarani merasmikan Taman Inspirasi Alam Semulajadi Escape Ipoh di sini.
Ia yang turut dikenali sebagai Taman Tema Escape Ipoh itu akan dibuka kepada orang ramai pada April depan dan bakal menjadi tarikan utama sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.