
GEORGE TOWN, 8 Januari – Pengurangnan kadar Cukai Perkhidmatan ke atas sewaan premis daripada lapan kepada enam peratus disifatkan mampu mengurangkan tekanan kos operasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
- Penurunan kadar cukai sewaan daripada lapan kepada enam peratus mengurangkan beban kos operasi PMKS.
- Langkah ini membantu memperbaiki aliran tunai dan kelegaan kewangan bagi perniagaan margin sempit.
- Mencegah pemindahan kos kepada pengguna serta menstabilkan harga barangan.
- Memberi ruang peralihan untuk PMKS perkukuh daya tahan, tingkat produktiviti dan rancangan pelaburan.
- Inisiatif lain termasuk penangguhan setahun untuk PMKS baharu dan peningkatan ambang pengecualian kepada RM1.5 juta.
Profesor Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Saidatulakmal Mohd berkata, kadar sebelum ini memberi kesan ketara kepada aliran tunai serta menjadi beban kos operasi harian golongan tersebut yang sememangnya beroperasi dengan margin kewangan terhad.
“Langkah ini sudah pasti memberi kelegaan kepada PMKS dalam mengawal kos operasi, sekali gus membolehkan mereka mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.
“Ia juga mencerminkan satu reformasi fiskal yang sangat baik kerana apabila PMKS berdepan peningkatan kos dan tidak mampu menanggungnya, beban tersebut lazimnya akan dipindahkan kepada pengguna.
“Dengan langkah ini, kita dapat mengehadkan pemindahan kos tersebut atau kenaikan harga barangan kepada pengguna, sekali gus memastikan pengguna turut mendapat manfaat melalui harga yang tidak meningkat secara mendadak,” katanya ketika ditemui RTM.
Tambah beliau, PMKS yang merangkumi kira-kira 90 peratus aktiviti ekonomi negara dan menyumbang besar kepada peluang pekerjaan perlu diberikan ruang peralihan bagi memperkukuh daya tahan, meningkatkan produktiviti serta merancang pelaburan secara lebih mampan.
Penurunan kadar cukai ini disifatkan sebagai langkah sementara yang memberi peluang kepada PMKS untuk bernafas dan berkembang sebelum berhadapan sepenuhnya dengan keperluan pematuhan percukaian yang lebih menyeluruh pada masa hadapan.
Isnin lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan cukai perkhidmatan ke atas sewaan bagi PMKS kepada enam peratus berbanding lapan peratus sebelum ini.
Selain itu, PMKS yang baru ditubuhkan akan menikmati penangguhan cukai perkhidmatan sewaan selama setahun dan nilai ambang pengecualian cukai turut dinaikkan sehingga RM1.5 juta.