fb fb fb fb fb

Penubuhan dana melalui kegiatan Asia Timur, langkah proaktif perjuang isu Palestin

Profesor Dr. Azmi Hassan

KUALA LUMPUR, 1 Februari- Jalinan kerjasama Malaysia-Jepun bagi pembangunan semula Gaza mencerminkan kepercayaan negara matahari terbit itu terhadap pengaruh Malaysia dalam memperjuangkan isu Palestin di peringkat antarabangsa.

Perkara itu disokong dengan persetujuan kedua-dua negara bagi mengadakan Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) bagi merancang dan mengumpul dana pembangunan semula Gaza.

Felo Majlis Profesor Negara, Profesor Dr. Azmi Hassan berpandangan penubuhan dana melalui kegiatan Asia Timur disifatkan langkah proaktif bagi memastikan pemulihan semula negara Palestin dapat direalisasikan.

"Seharusnya kita menyokong penuh Kuala Lumpur bersama-sama dengan Tokyo untuk mengumpul dana pembangunan semula Gaza.

"Ia mengambil konsep pada persidangan damai di Switzerland mengenai Ukraine, jadi itu konsep yang digunakan. Ada sebab kenapa Tokyo mempelawa Kuala Lumpur menjadi pengerusi bersama kerana sebelum ini hanya Tokyo yang menjadi pengerusi kerana Tokyo tahu pengaruh Malaysia.

"Sekiranya menaruh harapan negara-negara barat untuk memulakan pembangunan atau perancangan di Gaza mereka hanya berminat dengan apa yang berlaku di Ukraine," katanya ketika dihubungi RTM.

Rabu lalu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu rakaman video memaklumkan bahawa kerajaan akan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid sebagai usaha pemulihan semula Gaza.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI