Penuaan sihat perlu dinikmati semua lapisan masyarakat – Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

KUALA LUMPUR, 11 November – Penuaan sihat tidak seharusnya menjadi keistimewaan yang hanya mampu dinikmati golongan berkemampuan, sebaliknya perlu menjadi realiti yang boleh diakses oleh seluruh lapisan masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan dasar konkrit dan praktikal diperlukan untuk akses saksama kepada penjagaan kesihatan, perkhidmatan awam dan sistem sokongan.
  • Perancangan penuaan sihat mesti inklusif sejak awal; persekitaran, perkhidmatan dan teknologi perlu memperluas akses, bukan memburukkan jurang.
  • Penuaan sihat adalah tanggungjawab moral dan lambang penghormatan kepada warga emas, tidak seharusnya ditentukan oleh kekayaan.
  • Pelaburan penjagaan warga emas menjana pulangan ekonomi, peluang pekerjaan dan pendapatan; bukan sekadar beban perbelanjaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, usaha membina masyarakat yang mengamalkan penuaan sihat memerlukan pelaksanaan dasar yang konkrit dan praktikal, termasuk akses saksama kepada penjagaan kesihatan, perkhidmatan awam serta sistem sokongan.

“Penuaan sihat perlu dirancang secara inklusif sejak awal. Persekitaran, perkhidmatan dan teknologi yang dibangunkan seharusnya memperluas akses kepada semua golongan, bukannya memburukkan lagi jurang ketidaksamarataan sedia ada.

“Ini bukan sekadar dasar sosial yang baik, tetapi juga satu tanggungjawab moral serta lambang penghormatan yang wajar diberikan kepada warga emas.

“Keupayaan untuk meniti usia lanjut dengan kesihatan yang baik, bermaruah dan bermakna tidak seharusnya ditentukan oleh kekayaan,” titah baginda ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Perak 2026: Penuaan Sihat untuk Pertumbuhan Ekonomi, di ibu negara, hari ini.

Dalam majlis sama, Sultan Perak turut menerima anugerah Baroness Sally Greengross Award for Healthy Longevity Innovation.

Menurut baginda, penuaan sihat turut memerlukan infrastruktur yang sesuai dan bukan sekadar penyediaan perkhidmatan yang diperlukan.

“Perumahan, penjagaan kesihatan, jaminan kewangan dan teknologi tidak lagi boleh dilihat sebagai bidang dasar yang berasingan. Sebaliknya, semua aspek ini saling berkait dalam membentuk persekitaran kehidupan seseorang,” titah baginda.

Pelaburan dalam sektor penjagaan warga emas juga berpotensi menjana pulangan ekonomi menerusi peningkatan pertumbuhan, peluang pekerjaan dan pendapatan.

Berdasarkan analisis yang dipetik dalam Rangka Kerja Strategik Penjagaan Malaysia menunjukkan setiap ringgit yang dilaburkan mampu memberi pulangan ekonomi yang lebih luas, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan industri penjagaan yang lebih mampan.

“Satu kajian ASEAN menganggarkan permintaan terhadap penjagaan warga emas di rantau ini akan meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh dua dekad akan datang. Namun, peningkatan keperluan itu tidak seharusnya dilihat sebagai beban kewangan semata-mata.

“Melihat peningkatan populasi warga emas hanya dari sudut peningkatan perbelanjaan bermakna kita mengabaikan sumbangan besar mereka kepada masyarakat dan nilai kemanusiaan yang dapat dikekalkan melalui penuaan sihat,” titah baginda.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.