ATM perkukuh pertahanan siber, sedia 5,234 anggota hadapi MTL

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah)

KUALA LUMPUR, 11 November – Kementerian Pertahanan (MINDEF) berhasrat mempercepat penubuhan pasukan khusus Cyber Force Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan peningkatan ancaman serangan siber yang semakin kompleks dan berpotensi menjejaskan keselamatan pertahanan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • ATM akan mewujudkan cabang siber; nukleus telah ditubuhkan; operasi disasar bermula 2030.
  • ATM menyediakan 5,234 anggota untuk operasi menyelamat dan bantuan banjir semasa Monsun Timur Laut.
  • 589 aset mobiliti darat, 344 aset mobiliti air dan keupayaan udara digerakkan; amalkan prinsip pasukan pertama tiba di lokasi bencana.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh keupayaan pertahanan siber negara, termasuk menyatukan kepakaran dan aset sedia ada yang ketika ini beroperasi secara berasingan mengikut cabang perkhidmatan.

“Sekarang ini, kita sedia maklum bahawa ATM mempunyai cabang darat, laut dan udara. Akan ada satu lagi cabang, iaitu siber.

“Jika dahulu peperangan berlaku di darat, laut atau udara, kini kita berdepan dengan peperangan siber. Atas sebab itu, kita telah membuat keputusan dan memaklumkan kepada Kabinet mengenai keperluan mewujudkan pasukan khusus bagi menangani ancaman siber,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Brigadier Jeneral Kehormat kepada Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, yang juga Penaung Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela (JAKPAS) Perlis, di pejabatnya, pada Rabu.

Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, pasukan nukleus telah diwujudkan bagi merangka struktur organisasi Cyber Force yang pada asalnya disasarkan mula beroperasi menjelang 2030.

Bagaimanapun, MINDEF akan mengemukakan keperluan kepada kerajaan bagi mempercepat pelaksanaannya, termasuk dari aspek keanggotaan dan peralatan, selaras dengan peningkatan ancaman siber.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, ATM menyediakan seramai 5,234 anggota bagi membantu operasi menyelamat dan bantuan bencana sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), khususnya ketika berlakunya banjir.

Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, persiapan itu turut melibatkan 589 aset mobiliti darat dan 344 aset mobiliti air, selain keupayaan mobiliti udara yang akan digerakkan mengikut keperluan operasi.

Menurutnya, ATM kekal dengan prinsip menjadi pasukan pertama tiba di lokasi bencana bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera.

“Kita mengamalkan prinsip first troop on the scene apabila berlaku banjir, yang bermaksud kita menjadi pasukan pertama berada di lokasi kejadian.

“Bagi tahun ini, kita menyediakan kekuatan seramai 5,234 anggota, terdiri daripada 314 pegawai dan 4,920 anggota lain-lain pangkat,” katanya.

Katanya, ATM akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan operasi bantuan dan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara teratur serta berkesan sepanjang tempoh MTL.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.