Pentadbir diberi kuasa tutup sekolah ikut keadaan

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh bercakap kepada pemberita selepas melawat Projek Daif Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng / Foto BERNAMA

GOPENG, 27 Mac– Pentadbir sekolah diberi kuasa menentukan sama ada operasi sekolah perlu ditutup susulan cuaca panas yang melanda beberapa kawasan ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Garis panduan KPM dan amaran METMalaysia digunakan; hentikan aktiviti luar jika suhu melebihi 35°C tiga hari berturut-turut.
  • Penutupan boleh dipertimbangkan pada suhu melebihi 37°C; kesihatan dan keselamatan murid menjadi keutamaan.
  • SJKT Gopeng akan dibina semula dengan peruntukan RM14.5 juta; enam bilik darjah, makmal, bilik kaunseling; projek bermula hujung tahun.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Menurutnya, jika suhu harian melebihi 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, semua aktiviti luar perlu dihentikan.

Penutupan sekolah pula boleh dipertimbangkan sekiranya suhu melebihi 37 darjah Celsius.

“Garis panduan ini telah digunakan sejak 2023 dan pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah serta sekolah mempunyai pengalaman untuk mengendalikannya.

Kesihatan dan keselamatan murid menjadi keutamaan, selain pentadbir perlu sentiasa memantau keadaan cuaca semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Projek Daif Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng, pagi tadi.

Sebanyak RM14.5 juta diperuntukkan bagi pembinaan semula bangunan daif di sekolah tersebut.

Projek bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 itu melibatkan pembinaan blok baharu termasuk enam bilik darjah dan pejabat pentadbiran.

Turut dibina bilik guru serta kemudahan tambahan seperti makmal sains, bilik kesihatan dan kaunseling.

Projek itu dijangka diiklankan pada Jun sebelum kerja pembinaan bermula hujung tahun ini.

Tempoh pelaksanaan projek dianggarkan sekitar 22 bulan.