KUANTAN, 23 Julai - Seorang pensyarah kerugian RM267,000 selepas didakwa terlibat dengan sindiket ‘keldai akaun’ dan kegiatan pengubahan wang haram oleh individu menyamar sebagai wakil Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Lebih perit, mangsa lelaki berusia 57 tahun itu, terpaksa membuat pinjaman bank dan menggunakan wang simpanan sendiri.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pada awalnya mangsa dihubungi individu memperkenalkan diri sebagai wakil AMLA pada 12 Jun lalu.
Menurutnya, mangsa dimaklumkan bahawa akaun bank miliknya dalam siasatan pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dengan sindiket ‘keldai akaun’ di Johor.
Mangsa menafikan perkara itu namun, panggilan kemudian disambungkan kepada 'Sarjan Nizam' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor yang mendakwa mangsa turut dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram.
Mangsa kemudian diminta untuk memindahkan wang ke akaun diberikan bagi menyelesaikan kes dan membatalkan waran tangkap terhadapnya.
Dalam tempoh 18 Jun hingga 19 Julai lalu, mangsa telah melakukan 17 transaksi bayaran sebelum menyedari dirinya ditipu.