
KUALA LUMPUR, 23 Januari – Pelajar dan ibu bapa tidak perlu bimbang dengan penstrukturan semula tingkatan 6 yang bakal diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kerana perubahan itu bukan bersifat drastik sebaliknya bertujuan memperkukuh laluan prauniversiti selaras keperluan pendidikan tinggi negara.
- Penempatan Tingkatan 6 di bawah KPT bertujuan memperkukuh laluan prauniversiti dan kesesuaian dengan pendidikan tinggi.
- Jawatankuasa bersama KPM dan KPT ditubuhkan untuk mengurus peralihan termasuk tadbir urus, kurikulum dan sumber manusia.
- Penambahbaikan pentaksiran dan kurikulum STPM disasarkan untuk menyamai keperluan universiti serta meningkatkan kebolehpasaran pelajar.
- Tingkatan 6 digarapkan sebagai pilihan prauniversiti yang berpatutan, inklusif dan memberi akses saksama tanpa menambah beban pelajar.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman berkata, penempatan tingkatan 6 di bawah KPT merupakan agenda strategik kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 bagi melahirkan generasi pelajar yang lebih berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menghadapi ekosistem universiti.
“Tingkatan 6 dilihat sebagai fasa penting untuk membina pemikiran intelektual dan budaya pembelajaran aras tinggi agar pelajar lebih bersedia melangkah ke pendidikan tinggi,” katanya kepada RTM.
Menurut beliau, satu jawatankuasa bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan KPT telah ditubuhkan bagi memperincikan proses peralihan meliputi aspek tadbir urus, kurikulum, skim perkhidmatan guru serta implikasi kewangan dan sumber manusia, dengan sasaran pelaksanaan pada 2027.
Antara fokus utama ialah penambahbaikan pentaksiran dan kurikulum STPM supaya lebih setara dengan keperluan universiti, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing pelajar Tingkatan 6 berasaskan prinsip meritokrasi, seiring laluan prauniversiti lain seperti asasi dan matrikulasi.
Datuk Profesor Dr Azlinda turut menegaskan, perubahan itu tidak akan menambah beban pelajar, sebaliknya membuka peluang lebih luas untuk kemasukan ke universiti, di samping menawarkan pilihan prauniversiti berprestij dengan kos lebih rendah kerana pelajar masih boleh tinggal bersama keluarga.
“Kita mahu tingkatan 6 dilihat sebagai pilihan yang bernilai tinggi, adil dan inklusif, serta mampu menyediakan akses saksama kepada pendidikan tinggi untuk semua anak bangsa,” katanya.