
KUANTAN, 28 Mac – Rata-rata penjawat awam di sini menyambut baik inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangani tekanan ekonomi semasa.
- BDR terbukti menjimatkan perbelanjaan harian, terutama kos bahan api berdasarkan pengalaman semasa COVID-19.
- Penjawat awam menyokong meneruskan BDR bagi meringankan tekanan ekonomi dan membantu penjimatan keluarga.
- Cadangan pelaksanaan berperingkat mengikut sektor; kerajaan perincikan kerja lebih anjal dan sektor swasta digalakkan turut melaksana.
Tinjauan mendapati, langkah itu bukan sesuatu yang asing kerana pernah dilaksanakan ketika pandemik COVID-19, selain dilihat mampu membantu mengurangkan kos sara hidup.

Menurut penjawat awam, Norhafizan Ngah, pelaksanaan BDR terbukti memberi penjimatan, khususnya dari segi perbelanjaan harian termasuk kos bahan api untuk berulang-alik ke tempat kerja.
“Kalau ikut pengalaman semasa COVID-19, memang ada penjimatan dan tiada masalah untuk penjawat awam bekerja dari rumah,” katanya.

Seorang lagi penjawat awam, Siti Munirah Redtha berkata, inisiatif itu wajar diteruskan kerana mampu membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi yang semakin mencabar.
“Saya rasa pendekatan ini banyak membantu dari segi penjimatan, terutama kepada penjawat awam,” katanya.

Bagi Farah Filzah Zainal, langkah tersebut dilihat tepat pada masanya kerana ia pernah dilaksanakan sebelum ini dan terbukti berkesan.
“Langkah ini bijak dan sesuai dilaksanakan semula kerana ia menjimatkan penggunaan bahan api,” katanya.

Sementara itu, Fazmal Nizam Zainudin berpandangan pelaksanaan BDR adalah wajar memandangkan situasi ekonomi semasa yang memerlukan pendekatan lebih fleksibel.
“Langkah ini sesuai diteruskan berdasarkan keadaan ekonomi sekarang,” katanya.

Ahmad Ikram Hafiz Amrimunawwar pula menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai sangat membantu dalam mengurangkan kos harian.
“Saya amat bersyukur kerana dapat mengurangkan penggunaan bahan api untuk ke tempat kerja setiap hari,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Ain Sujaihah Mohd mencadangkan agar pelaksanaan BDR dibuat secara berperingkat mengikut kesesuaian sektor pekerjaan.
“Mungkin boleh dilaksanakan secara berperingkat kerana ada sektor yang perlu berada di pejabat dan ada yang boleh bekerja dari rumah,” katanya.
Khamis lalu, kerajaan memaklumkan sedang memperincikan pelaksanaan peraturan kerja lebih anjal termasuk BDR susulan gangguan bekalan minyak dunia akibat krisis di Asia Barat.
Sektor swasta turut digalakkan untuk mempertimbangkan pelaksanaan kaedah sama bagi membantu mengurangkan kesan tekanan ekonomi.