fb fb fb fb fb

Penjawat awam perlu kerja dengan semangat, budaya kerja baharu - Anwar

Foto FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 16 Ogos- Penjawat awam perlu terus bekerja dengan semangat dan budaya kerja baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia selaras dengan pelarasan gaji yang diumumkan beliau pagi tadi.

"Mulai hari isnin, kita mahu melihat semangat dalam budaya kerja yang baharu dalam kalangan penjawat awam..tidak bermakna kalau kita tingkatkan (gaji), tetapi rakyat tanya, mengapa dahulu kami tunggu dua jam untuk mendapatkan lesen, sekarang masih dua jam..mengapa kami tunggu dua minggu untuk mendapat kelulusan..mesti terus dua minggu.

"Jadi mesti ada satu ikhtiar, iltizam, kecekapan pentadbiran baharu yang saya minta nanti KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) pastikan ia dilaksanakan tanpa tolak ansur...maknanya ganjaran yang saya umumkan ini akan hanya diberikan kepada rakan-rakan yang menunjukkan kesetiaan mereka, khidmat mereka yang baik, baharu diberikan ganjaran," kata Anwar ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di sini.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan bersetuju untuk menambah baik aspek pengurusan prestasi, tatakelakuan dan pengurusan tatatertib dalam aspek pengurusan serta pembangunan bakat.

Ia bagi menangani isu kegagalan tadbir urus pengurusan kewangan awam dan pengukuhan prosedur tatatertib yang lebih tegas bagi pegawai yang tidak hadir bertugas.

"Satu, penambaikan peraturan pegawai awam..1993 yang antara lain mewujudkan peraturan baharu bagi menangani isu kegagalan tadbir urus pengurusan kewangan awam dan pengukuhan prosedur tatatertib yang lebih tegas.

"Kedua, pelaksanaan sistem penilaian prestasi tahunan yang baharu bagi menggantikan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) kepada sistem MyPerformance yang berasaskan kepada aspek kompetensi dan nilai serta menitikberatkan prinsip, iaitu adil, objektif, telus, relevan dan kebolehasingan," katanya.

Tambahnya, aspek lain juga melibatkan, penambahbaikan kriteria kelayakan Pergerakan Gaji Tahunan (PGT), markah penilaian prestasi tahunan bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat serta markah penilaian prestasi tahunan untuk layak menerima PGT.

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM