Penjawat awam luah syukur kenaikan gaji baharu Fasa Kedua SSPA

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 22 Januari – Penjawat awam meluahkan rasa syukur terhadap pelaksanaan kenaikan gaji baharu Fasa Kedua bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bermula hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penjawat awam bersyukur atas pelaksanaan kenaikan gaji Fasa Kedua SSPA yang bermula hari ini.
  • Kenaikan membantu urus perbelanjaan, tingkat simpanan, pelaburan, dan kurangkan hutang.
  • Inisiatif gaji meningkatkan semangat dan motivasi penjawat awam dalam menjalankan tugas.
  • Pelarasan Fasa Kedua: P&P tambahan 7% dan KPT pelarasan 3%, lanjutan kenaikan SSPA 2024.

Erra Ezka Khir Johari yang ditemui RTM berkata, kenaikan itu banyak membantu dalam menguruskan perbelanjaan.

“Dengan kenaikan kali ini, ia sedikit sebanyak meringankan beban dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan,” katanya.

Jazzmi Shah Daud Maidin pula menyatakan penghargaan kenaikan itu membantu meningkatkan simpanan dan pelaburan.

“Kenaikan 7 peratus gaji kali ini membantu kami meningkatkan simpanan dan pelaburan, menambah perlindungan insurans, serta mengurangkan hutang sedia ada,” katanya.

Mohd Hakim pula meluahkan bahawa kenaikan berkenaan meningkatkan semangat dalam melakukan tugas.

“Terima kasih Perdana Menteri. Kenaikan ini memang sangat membantu. Alhamdulillah, saya bersyukur,” katanya.

Muhammad Alfarizal pula menyifatkan kenaikan gaji memberi impak besar bukan sahaja kepada ekonomi negara, tetapi juga kepada motivasi penjawat awam dalam perkhidmatan kerajaan.

“Inisiatif kenaikan gaji itu memberi dorongan positif kepada penjawat awam dan meningkatkan semangat mereka dalam menjalankan tanggungjawab.

“Apa yang penting, kami amat berterima kasih kepada kerajaan kerana inisiatif ini memberi motivasi yang baik kepada penjawat awam,” katanya.

Pelarasan gaji Fasa Kedua merupakan kesinambungan kenaikan gaji di bawah SSPA yang diumumkan pada 2024, melibatkan kadar keseluruhan 15 peratus bagi Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P), serta tujuh peratus bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Di bawah Fasa Kedua, Kumpulan P&P menerima tambahan kenaikan sebanyak tujuh peratus, manakala KPT menerima pelarasan sebanyak tiga peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember 2024, antara yang tertinggi dalam sejarah negara, sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuan perkhidmatan awam Kerajaan MADANI.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan