fb fb fb fb fb

Penipuan pakej haji, jemaah perlu buat aduan ke TH

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

PUTRAJAYA, 14 Mei - Jemaah haji yang terpedaya dengan pakej haji menggunakan visa pelancong perlu membuat aduan kepada Lembaga Tabung Haji (TH), Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk siasatan lebih lanjut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menerusi satu kenyataan berkata setakat ini, tiada laporan rasmi diterima oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Tambahnya, pihak Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menasihati mana-mana pihak yang berada di Tanah Suci untuk pulang ke tanah air sekiranya tidak mempunyai visa haji yang sah.

"Dalam hal ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa memberi peringatan kepada umat Islam di negara ini supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah yang ditawarkan segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan TH," kata Dr Na’im.

Beliau juga mengingatkan kepada mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH adalah menjadi satu kesalahan dan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

TETITIA YUSOFF