fb fb fb fb fb

Penipuan kuota ambil pekerja asing, majikan, ejen terlibat akan disenarai hitam

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong

GOMBAK, 19 Januari- Majikan atau ejen yang dikesan terbabit dalam penipuan kuota pengambilan pekerja asing akan disenarai hitam.

Tegas , pekerja warga asing yang dibawa masuk secara sah, wajib dibayar gaji sebaik sahaja tiba di negara ini.

Justeru, majikan atau ejen perlu mewujudkan pekerjaan bagi setiap pekerja asing yang ingin dibawa masuk ke negara ini.

"Pendirian kita jelas, kalau hendak bawa masuk pekerja asing ke Malaysia perlu ada kerja. Kalau dia tipu atau sebaliknya, kita akan tolak. Tapi kalau dia telah masuk, dia tidak mendapat pekerjaan atas sebab tertentu, wajib juga membayar gaji bermula dia mula masuk. Ini untuk mengelakkan orang salah guna", katanya dalam Sidang media Program Kesuma MADANI sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves.

Dalam pada itu, Steven turut memaklumkan akan membincangkan isu kenaikan kadar yuran dan kekerapan pemeriksaan perubatan pekerja asing bersama Kementerian Kesihatan.

Ia susulan tindakan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) yang menaikkan bayaran tersebut tanpa sebarang perbincangan.

Sementara itu, berkenaan program Kesuma MADANI, beliau berkata seramai 200 sukarelawan akan ditugaskan di Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves bagi membantu melancarkan pengurusan logistik sempena sambutan Thaipusam pada 25 Januari.

Beliau berkata Program Kesuma MADANI yang julung kali diadakan itu, turut menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma dan pendaftaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

"Pertama kalinya, menyediakan ruang rehat percuma dan selesa di khemah utama Kesuma MADANI dan mampu memuatkan sehingga 500 orang', katanya.

ROSLINA BINTI DIN