fb fb fb fb fb

Peniaga bimbang runtuhan tebing Sungai Kelantan

Foto RTM

KOTA BHARU, 17 Disember- Peniaga di deretan kedai Jalan Pasar Lama, Kota Bharu bimbang akan keselamatan mereka berikutan runtuhan tebing akibat hakisan Sungai Kelantan.

Peniaga, Mohd Rozi Abdul Rahim, berkata beliau mengetahui mengenai kejadian itu semalam selepas dimaklumkan oleh pekerjanya.

Menurutnya, runtuhan tersebut berlaku kira-kira 200 meter dari lokasi kedainya di Menara Tinjau, Tambatan D'raja, Kota Bharu.

Runtuhan sepanjang 70 meter itu mungkin berlaku disebabkan hakisan tanah akibat banjir gelombang pertama yang melanda baru-baru ini.

"Saya berharap runtuhan berkenaan berlaku di kawasan tersebut sahaja dan tidak merebak ke kawasan lain yang boleh menjejaskan deretan kedai, restoran, kondominium dan hotel berdekatan.

"Harapnya keadaan ini tidak merebak sehingga ke Menara Tinjau. Lokasi tersebut menjadi tumpuan orang ramai, terutamanya pada waktu malam kerana suasananya yang menarik dan meriah," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Fara Sharina Zamari, berkata beliau terkejut apabila mendengar berita mengenai kejadian yang berlaku berhampiran restorannya.

"Ini dugaan besar sebab hanya tinggal 77 hari lagi sebelum Ramadan. Kita peniaga, baru-baru ini pun sudah rugi, jadi kami nak 'backup' semula perniagaan kami.

"Tapi bila perkara macam ini berlaku, saya rasa macam terduduk. Macam mana saya nak cari makan bulan puasa nanti," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, anggota polis telah diarahkan untuk mengawasi lokasi runtuhan dan memasang pita garisan kuning bagi melarang orang ramai mendekati kawasan itu.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri lokasi kejadian bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku," ujarnya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM