Pengusaha stesen minyak sokong sekatan penggunaan kad kredit dan debit asing

Foto BERNAMA

PENDANG, 3 April – Pengusaha stesen minyak di Kedah menyambut baik langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan sekatan penggunaan kad kredit dan kad debit asing bagi pembelian petrol RON95 di semua stesen minyak di seluruh negara, bermula Rabu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengusaha beri kerjasama penuh untuk memastikan RON95 dinikmati oleh rakyat Malaysia.
  • RON95 subsidi besar untuk rakyat; kawalan diperlukan untuk mengelakkan ketirisan dan beban kewangan negara.
  • Sekatan memudahkan stesen minyak, kurangkan beban pekerja menjaga pam secara fizikal.
  • Sekatan hanya untuk transaksi di pam; kad asing masih boleh digunakan di kaunter, bantu perkuat penguatkuasaan.

Di Pendang, wakil pengusaha stesen minyak, Norzulshafis Mohd Noh berkata, mereka akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada KPDN dan pihak berwajib bagi memastikan RON95 hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia.

“Langkah ini adalah tepat kerana RON95 merupakan bahan api bersubsidi yang dikhususkan untuk rakyat Malaysia. Subsidi ini melibatkan peruntukan besar daripada kerajaan, dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan ia dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.

“Jika subsidi ini tidak dikawal, ia akan menyebabkan ketirisan dan memberi kesan kepada kewangan negara serta akhirnya membebankan rakyat sendiri. Dari sudut industri, kami sebagai pengusaha stesen minyak akan memberikan kerjasama penuh dalam memastikan dasar ini dilaksanakan dengan baik. Kami percaya kerajaan akan menyediakan garis panduan dan mekanisme yang jelas bagi memudahkan pelaksanaan di peringkat operasi,” katanya ketika ditemui RTM.

Rabu lalu, Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin dalam kenyataan memaklumkan, sekatan berkenaan bertujuan untuk memudahkan pihak stesen minyak dan mengurangkan beban pekerja stesen minyak untuk menjaga pam secara fizikal.

Ini kerana sistem itu sendiri berfungsi sebagai penapis serta membantu pihak penguat kuasa membuat pemeriksaan bagi larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 oleh kenderaan asing.

Langkah itu juga bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan sedia ada.

Bagaimanapun sekatan tersebut adalah untuk transaksi terus di pam sahaja dan pengguna masih boleh menggunakan kad kredit atau kad debit asing di kaunter stesen minyak.

Pendekatan itu juga diharap membantu memperkukuh penguatkuasaan serta mengelakkan sebarang penyalahgunaan subsidi RON95.