Pengukuhan ringgit: Harga makanan import perlu diturunkan – TPM Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

SUBANG JAYA, 8 Februari– Pengukuhan nilai ringgit wajar diterjemahkan kepada penurunan harga barangan import, khususnya makanan, supaya manfaat kestabilan ekonomi dapat dirasai golongan berpendapatan rendah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengukuhan ringgit mesti diterjemahkan kepada penurunan harga barangan import, terutama makanan.
  • Harga produk import perlu diselaraskan mengikut kadar pertukaran semasa untuk manfaat B40.
  • Peniaga digesa menurunkan harga selaras pengukuhan mata wang tanpa alasan untuk tidak berbuat demikian.
  • KPDN diingatkan mengambil tindakan terhadap peniaga yang gagal menyesuaikan harga.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, harga produk import perlu diselaraskan mengikut kadar pertukaran mata wang semasa bagi memastikan golongan B40 memperoleh barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.

“Ia mesti dilakukan begitu kerana faktanya ialah apabila kadar pertukaran kita naik, penjual terus menaikkan harga mereka. Tetapi sekarang kadar pertukaran kita telah menurun disebabkan kestabilan ekonomi kita, maka barangan tersebut mestilah diberi harga yang akan memberi manfaat kepada pengguna.”

“Langkah ini bukan bertujuan untuk kesenangan, tetapi bagi memastikan golongan B40 mampu memenuhi keperluan asas mereka dengan harga yang munasabah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal di Pasar Raya Mydin, di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa peniaga tidak mempunyai pilihan selain menurunkan harga barangan selaras dengan pengukuhan ringgit.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diingatkan supaya mengambil tindakan sekiranya terdapat peniaga yang gagal berbuat demikian.