fb fb fb fb fb

Penglibatan NGO Islam diperlukan bantu penduduk pasca banjir

Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

POKOK SENA, 15 Disember- Lebih ramai penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) Islam disaran tampil untuk membantu pasca banjir di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata ia susulan penduduk terjejas banjir memerlukan sokongan dan bantuan untuk membersihkan kediaman.

"Alhamdullilah, saya yakin ini adalah semangat yang ditunjukkan oleh semua pihak. Saya secara peribadi menerima banyak permohonan daripada NGO.

"Kita ucapkan terima kasih kepada NGO yang prihatin termasuk agensi kerajan yang bertungkus lumus membantu penduduk terjejas banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Misi Bantuan Banjir di Maadhad Tahfiz Islamiah Derang di sini.

Sebanyak RM892,232 bantuan termasuk wang tunai disalurkan di dua buah masjid,13 buah sekolah pondok, Sekolah Agama Rakyat dan sebuah Maahad Tahfiz.

Misi yang diselaraskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu melibatkan bantuan di Jeniang, Gurun, Sg Jagong di Pendang, Derang di Pokok Sena dan Titi Besi di Alor Setar.

Dalam perkembangan lain modul silibus bagi pemulihan akidah pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah siap dibangunkan oleh jawatankuasa khas.

Mohd Na'im berkata laporan mengenainya belum dikemukakan kepadanya.

"Saya dimaklumkan semua modul melibatkan dewasa, kanak-kanak telah siap. Sementara itu rangka modul khas ketua-ketua pemimpin yang ditahan sedang disiapkan.

"Isya-Allah apabila semua ini telah lengkap kita akan dapatkan kebenaran Kementerian Dalam Negeri (KDN), jawankuasa terlibat dan berbincang untuk menyampaikan modul berkenaan melibatkan pemimpin GISBH," katanya.

Modul berkenaan termasuk pembentukan akidah dewasa, kanak-kanak, rohani dan jati diri.

Selain itu ialah Pendidikan Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pembangunan remaja, kepimpinan umat insaniah serta modul psikospiritual.

Dalam pada itu pihak Tabung Haji (TH) melalui Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman akan mengumumkan kos haji bagi 2025 dan surat tawaran haji kepada jemaah terpilih.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI