fb fb fb fb fb

Pengintegrasian AI, bantu UNIMAS kekal relevan

Foto RTM

KOTA SAMARAHAN, 4 November - Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mesti bersedia untuk mengintegrasi teknologi seperti kecerdasan buatan, AI dalam proses pengajaran, penyelidikan dan pengurusan.

Menurut Yang Dipertua Negeri, Tun Pehin Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ia merupakan langkah yang perlu diambil bagi memastikan UNIMAS kekal relevan di peringkat global serta dapat melahirkan graduan dilengkapi dengan kemahiran terkini yang diperlukan oleh pemegang taruh dan juga pasaran pekerjaan.

Ujarnya, penggunaan teknologi bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan operasi universiti, tetapi juga memberi peluang kepada UNIMAS untuk menjadi peneraju dalam inovasi pendidikan yang memanfaatkan teknologi moden.

Beliau memberitahu demikian dalam ucapan pembukaan Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-28 Sidang Pertama di sini, hari ini.

Tun Pehin Seri Dr. Wan Junaidi yang juga Canselor UNIMAS memberitahu bahawa universiti tersebut merupakan salah sebuah institusi yang inklusif dan milik bersama.

Tambahnnya, pendidikan harus bersifat holistik dan tidak terikat pada satu-satu disiplin semata-mata dimana setiap bidang ilmu memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan UNIMAS harus
menjadi pusat integrasi ilmu yang menyatukan pelbagai cabang kepakaran.

Saranan beliau agar UNIMAS menjadi rakan strategik kerajaan negeri dalam usaha membangunkan Sarawak selaras dengan dasar-dasar yang dirancang oleh Kerajaan Negeri.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sijil kepada 617 graduan yang terdiri daripada 124 graduan Ijazah Sarjana dan Kedoktoran, 465 graduan Ijazah Sarjana dan 28 graduan Diploma Pascasiswazah.

Istiadat konvokesyen UNIMAS kali ini, meraikan kejayaan seramai 3,938 orang graduan.

Trainee