
PUTRAJAYA, 4 Februari – Pengimportan sisa elektronik (e-waste) akan diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 berkuatkuasa hari ini.
- Pengimportan e-waste diklasifikasikan sebagai Larangan Mutlak di bawah Perintah Kastam berkuatkuasa hari ini.
- Keputusan dibuat oleh Pasukan Petugas Khas bagi memperketat kawalan dan melindungi alam sekitar.
- JAS diarahkan memohon kepada JKDM supaya e-waste dimasukkan ke kategori Larangan Mutlak.
- Jawatankuasa khas diketuai Komander AKPS ditubuhkan untuk memperkukuh penyelarasan dan penguatkuasaan.
Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil. 2/2026.
Ia selaras usaha memperketatkan kawalan kemasukan sisa berbahaya serta melindungi alam sekitar.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, keputusan itu memerlukan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu oleh semua agensi berkaitan.
“E-waste tidak lagi dibenarkan dan perlu buat penguatkuasaan tegas membabitkan semua agensi.
“Justeru, Jabatan Alam Sekitar (JAS) diarah untuk mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi meletakkan e-waste di bawah kategori Larangan Mutlak dalam Perintah Kastam,” katanya dalam mesyuarat yang diterajui oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Sebelum ini, e-waste disenaraikan di bawah kategori Larangan Bersyarat Kecuali Mengikut Cara Yang Diperuntukkan di bawah Jadual Ketiga Bahagian 1 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Peruntukan itu membolehkan Ketua Pengarah JAS menggunakan budi bicara untuk memberikan pengecualian terhadap pengimportan sisa terlarang tertakluk kepada syarat tertentu di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Mesyuarat turut memutuskan penyelarasan serta penguatkuasaan berkaitan e-waste diperkukuh melalui penubuhan jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal dalam masa terdekat.
Hasil mesyuarat jawatankuasa berkenaan perlu dilaporkan kepada Mesyuarat Pasukan Petugas Khas dalam tempoh seminggu bagi memastikan pengurusan e-waste lebih sistematik dan berkesan.
Dalam perkembangan berkaitan, mesyuarat turut membincangkan cadangan pelaksanaan moratorium selama tiga bulan terhadap pengimportan sisa plastik.
Sebelum keputusan dimuktamadkan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) perlu mengemukakan data terperinci untuk dibentangkan kepada Perdana Menteri bagi menilai kesesuaian pelaksanaan moratorium itu.
Turut hadir Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Fazlisyam Abd Majid, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Nor Yahati Awang, Pengarah BPT SPRM Datuk Mohd Zaki Hassan dan Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam SPRM KPKPj Sudirman Aban.