Pengiktirafan MATTA Fair lonjak potensi pelancongan Johor ke peringkat global

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Raven Kumar Krishnasamy /RTM

KUALA LUMPUR, 4 April –Kerajaan Negeri Johor optimis mampu mencapai sasaran 12 juta pelawat sempena Tahun Melawat Johor 2026, diperkukuh dengan pengiktirafan negeri itu sebagai ‘Destinasi Kegemaran Malaysia’ pada edisi ke-58 MATTA Fair yang bermula semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengiktirafan pada MATTA Fair menegaskan Johor bukan sekadar persinggahan, tetapi destinasi lengkap warisan, budaya, alam, gastronomi dan tarikan keluarga.
  • Fokus promosi tertumpu kepada pelancong domestik serta pengunjung dari negara jiran termasuk Singapura dan Indonesia.
  • Kerjasama berterusan antara kerajaan dan pemain industri dianggap amat penting untuk memacu pertumbuhan sektor pelancongan.
  • Kerajaan negeri salurkan lebih RM143.84 juta sejak 2025 untuk naik taraf infrastruktur, kemudahan awam dan meningkatkan aksesibiliti di seluruh Johor.

Pameran pelancongan berprestij itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Raven Kumar Krishnasamy yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Raven Kumar dalam ucapannya berkata, pengiktirafan berkenaan membuktikan Johor bukan lagi sekadar lokasi persinggahan, sebaliknya merupakan destinasi lengkap yang menawarkan pengalaman menyeluruh merangkumi warisan, budaya, alam semula jadi serta tarikan keluarga.

Fokus utama kini adalah untuk menarik pelancong domestik serta pengunjung dari negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.

“Pengiktirafan Johor sebagai ‘Destinasi Kegemaran Malaysia’ pada MATTA Fair Kuala Lumpur 2026 hari ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan.

“Ia membuktikan bahawa Johor bukan lagi sekadar destinasi persinggahan, sebaliknya sebuah destinasi lengkap yang menawarkan pengalaman menyeluruh merangkumi warisan dan budaya, pulau, alam semula jadi, gastronomi, tarikan keluarga serta pelancongan gaya hidup”, katanya.

Beliau menambah bahawa kerjasama berterusan antara kerajaan dan pemain industri amat penting dalam memacu pertumbuhan sektor tersebut.

Sehubungan itu, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan melebihi RM143.84 juta sejak tahun 2025 bagi menaik taraf infrastruktur pelancongan, kemudahan awam serta meningkatkan aksesibiliti di seluruh negeri.

Penganjuran MATTA Fair kali ini turut melakar sejarah sebagai edisi terbesar setakat ini dengan penglibatan 2,051 reruai daripada 332 organisasi yang mendiami ruang seluas 40,820 meter persegi di 10 dewan pameran.

Sebanyak 474 reruai mempamerkan produk domestik dari seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak, dan Pulau Pinang, manakala 210 penyertaan adalah daripada agensi pelancongan dan pengembaraan.

Sementara itu, dalam usaha meningkatkan keyakinan pengguna, MATTA turut memperkenalkan sistem baharu yang dikenali sebagai TRUST untuk membantu orang ramai mengenal pasti ahli MATTA yang sah, sekali gus menjamin profesionalisme dan mengelakkan kes penipuan.

Pameran yang berlangsung sehingga 5 April ini dibuka secara percuma kepada orang ramai dari pukul 10.00 pagi hingga 9.00 malam dengan kemudahan bas ulang-alik percuma disediakan dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall ke MITEC.

Pelbagai aktiviti menarik seperti ‘Buyers’ Contest’, ‘Ride & Reels’ serta ‘Spin & Win’ turut menanti pengunjung dengan tawaran hadiah eksklusif.