SEREMBAN, 2 Oktober- Pengetua dan Guru Besar diberikan autoriti untuk membuat keputusan bagi penutupan sekolah atau penangguhan tempoh pembelajaran dengan memaklumkan kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Negeri Sembilan (JPNNS) sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) berada pada tahap berbahaya.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Negeri Sembilan (JPNNS) Dr Roslan Hussin berkata, buat masa ini proses pembelajaran di semua sekolah di negeri itu masih berjalan seperti biasa dan tiada sekolah yang ditutup.
Bagaimanapun, pihaknya menasihatkan supaya sekolah ditutup sekiranya IPU mencecah tahap 200 atau mengambil tindakan wajar jika cuaca terlampau panas.
"Jadi saya harap semua guru besar dan pengetua sekolah mengambil perhatian berat. Kita juga menasihatkan sekolah-sekolah dalam suasana yang panas ini supaya mengambil kira semua aktiviti di luar bilik darjah.
"Dinasihatkan supaya jangan lakukan aktiviti luar bilik darjah terutama pada waktu pagi dan petang, namun perkara itu terpulang kepada guru besar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Sehingga pukul 12.00 tengah hari tadi, sebanyak 14 kawasan di seluruh Semenanjung telah mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu melebihi 101.
Berdasarkan laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), antara kawasan itu ialah Nilai dengan bacaan 163, Seremban (157) dan Port Dickson (155).
(Dr Roslan Hussin)