
KUALA LUMPUR, 5 Februari – Semua pengendali rel di negara ini digesa meningkatkan pelaburan dalam teknologi keselamatan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta sistem pemantauan pintar bagi membendung kes kecurian kabel.
- Tingkatkan pelaburan teknologi keselamatan seperti CCTV dan sistem pemantauan pintar bagi melindungi infrastruktur rel strategik.
- Kerjasama agensi termasuk Suruhanjaya Tenaga, TNB, KDN, KPT dan polis untuk pemantauan dan rondaan mencegah kecurian kabel.
- Pindaan undang-undang dicadang untuk hukuman lebih berat kerana denda sedia ada tidak setimpal dengan kerugian.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata langkah itu penting bagi melindungi infrastruktur rel strategik seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Massa (MRT).
“Semua pengendali rel digesa untuk meningkatkan pelaburan dalam teknologi keselamatan termasuk memasangan kamera litar tertutup CCTV dan sistem pemantauan pintar seperti di negara China dan Jerman, telah melabur secara besar-besaran dalam teknologi keselamatan, ini merupakan perkataan yang perlu diguna pakai secara bersama oleh agensi penguatkuasa dalam membendung kegiatan kecurian kabel ini,”
Beliau berkata demikian pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) berhubung usaha serta langkah jangka panjang Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi menangani masalah kecurian kabel.
Mengulas kes kecurian kabel di pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan terpencil, Datuk Seri Abdul Rahman berkata Suruhanjaya Tenaga dan TNB sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan serta Polis Diraja Malaysia untuk memantau dan melaksanakan rondaan bagi memastikan bekalan elektrik kekal terkawal serta beroperasi dengan baik.
Pada masa sama, beliau menegaskan pencegahan jenayah berkenaan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk orang ramai untuk melaporkan sebarang kejanggalan, gangguan elektrik, pencerobohan atau kecurian kabel.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Abdul Rahman menyifatkan cadangan meminda undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap pencuri kabel sebagai langkah wajar memandangkan denda sedia ada hanya RM1,000 dan tidak setimpal dengan kerugian kewangan yang ditanggung pengendali rel serta kerajaan.