KUALA LUMPUR, 3 September- Pengendali yang terlibat rangkaian 5G kedua kini dalam fasa terakhir sebelum diumumkan beberapa minggu lagi.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dalam fasa minggu terakhir sebelum Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memuktamadkan penelitian itu.
Beberapa prinsip juga telah diketengahkan serta dipersetujui oleh semua syarikat telekomunikasi sebelum memiliki pegangan saham dalam Digital Nasional Bhd (DNB).
"Pertama DNB sendiri perlu mampan, kedua perkhidmatan diberikan oleh rangkaian kedua tidak seharus lebih mahal daripada yang disediakan oleh DNB. Ketiga, mutu perkhidmatan juga mesti sebaik yang disediakan DNB.
"Kita jangka dalam masa mungkin beberapa minggu ini satu pengumuman dapat dibuat untuk mengumumkan siapakah yang akan terlibat dalam membangunkan rangkaian 5G kedua," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kempen CIMB Bank Bhd 'Kita Bagi Jadi' di ibu negara.
Pada 15 Ogos lepas, Fahmi berkata empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) telah mengemukakan bidaan masing-masing kepada MCMC untuk mengambil bahagian dalam rangkaian 5G kedua.
Fahmi berkata MNO itu adalah CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan U Mobile Sdn Bhd.