JERANTUT, 18 Mei- Kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan terutamanya melibatkan kumpulan ekstremis Jemaah Islamiah (JI) yang menjadi dalang kepada insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, semalam.
Tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, segala tindakan membanteras kumpulan seumpama itu perlu digerakkan bagi memastikan Malaysia bebas daripada fahaman tersebut yang seterusnya menggugat keamanan.
Ahmad Zahid mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana bertindak pantas dan sentiasa menangani isu keganasan sewajarnya.
"Jadi apa yang berlaku di Ulu Tiram ini, tindakan pantas pihak polis ini amat dialu-alukan.
"Kita mahu menghapuskan 100 peratus pengaruh terrorism atau keganasan di negara kita.
"Kita ucapkan takziah kepada dua anggota polis yang terkorban dan seorang tercedera.
"Namun, saya merasakan pihak cawangan khas khususnya bahagian antikeganasan harus diucapkan tahniah kerana mereka terus bergerak meskipun selama ini keadaan agak tenang," katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Loji Janakuasa Biogas 5.5 Megawatt (MW) Cenergi FJP di Kilang Sawit FELCRA Jayaputra di sini.
Dalam pada itu katanya, indeks keamanan negara masih berada di tahap tertinggi, namun beliau mahu semua pihak tidak mengambil mudah akan insiden di Balai Polis Ulu Tiram, seterusnya menjamin keharmonian negara.
Dalam kejadian pada pukul 2.45 pagi itu, dua anggota polis iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, cedera ditembak.
Hasil siasatan polis mendapati suspek lelaki berumur 21 tahun yang ditembak mati itu dipercayai ahli JI.
Artikel Berkaitan:
Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Jenazah dua anggota polis dibawa keluar dari HSI
Motif serangan suspek di Balai Polis Ulu Tiram bersifat persendirian