SERDANG, 1 November - Pelaksanaan pengapungan harga ayam diyakini tidak akan membebankan pengguna.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia susulan stok dan pengeluaran ayam masih mencukupi ketika ini, berdasarkan jaminan pihak industri yang mampu untuk menjual pada harga yang lebih rendah berikutan kos pengeluaran semakin stabil.
Namun katanya, KPDN memberi jaminan akan sentiasa memperkasa penguatkuasaan di peringkat pasaran.
"Kita akan pastikan berdasarkan pada laporan pegawai pemantau harga berdasarkan akta-akta yang ada di Kementerian kita akan sama-sama bergerak untuk memastikan kepentingan rakyat itu dapat kita pelihara," katanya.
Armizan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) di sini, pada Selasa.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Armizan berkata KPDN kini dalam proses akhir untuk meminda Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 (Akta 713) yang dijangka dibentangkan pada sidang pertama Dewan Rakyat tahun hadapan.
Beliau berkata pindaan terhadap Akta 712 antaranya memasukkan komponen baharu dikenali rejim kawalan penggabungan bagi mengawal selia sekiranya wujud elemen kecenderungan syarikat untuk bergabung dan berpakat dalam mengehadkan harga dan pengeluaran.