fb fb fb fb fb

Penganjur rumah terbuka perlu urus sisa buangan dengan baik

FOTO FAIL

SHAH ALAM, 15 April - Penduduk yang ingin menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri diminta menguruskan sisa buangan dengan lebih cermat, bagi mengelak berlakunya gangguan bekalan air ketika musim perayaan.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi hantaran di laman Facebook berkata, pihaknya menggariskan beberapa panduan yang boleh diikuti penganjur rumah terbuka antaranya memastikan sisa makanan dan sampah pepejal dikumpul dan dibuang ke tempat pelupusan sampah untuk dilupuskan pihak berkuasa bagi mengekang pencemaran.

"Selain itu, mereka yang mengadakan rumah terbuka juga diingatkan agar tidak sesekali membuang sisa makanan atau sampah ke dalam sungai.

"Pembuangan sisa makanan dan sampah ke dalam sungai adalah dilarang sama sekali kerana boleh menyebabkan pencemaran sungai yang mendorong kepada masalah gangguan air di musim perayaan,” kata agensi berkenaan.

Menurut LUAS, minyak masak yang telah digunakan juga hendaklah dikumpulkan dan dibawa ke pusat kitar semula untuk mengelakkan pembuangannya ke dalam sinki atau longkang.

Agensi itu turut mengingatkan penduduk agar tidak membuang sebarang buangan yang telah dikumpulkan terus ke dalam sungai yang boleh menyumbang kepada pencemaran air ketika membersihkan kediaman masing-masing.

Orang ramai yang melihat sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi mengakibatkan permasalahan sumber air diminta menghubungi LUAS di talian 03-55111800 atau 0192647904 (WhatsApp) untuk tindakan lanjut.

TETITIA YUSOFF