fb fb fb fb fb

Pengambilan guru ditambah tahun ini -KPM

(Datuk Dr Mohd Radzi Jidin pada program Wacana Dr Radzi Jidin Bersama
Komuniti Orang Asli di Pusat Pentadbiran dan Pusat Komersial Asli)



SUNGAI SIPUT, 25 Ogos- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menambah bilangan pengambilan guru secara 'one-off' tahun ini melebihi 5,000 orang.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, pertambahan bilangan guru berkenaan akan dilaksanakan menerusi kaedah Kluster Mata Pelajaran (KMP) yang telah diperkenalkan sebelum ini.

Menurutnya, KPM akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk merealisasikan perkara itu.

"Biasanya setiap tahun sekitar 4,000 atau 5,000 orang sahaja namun bila kita tukar pendekatan kepada sistem kluster dan kita lihat pengambilan ini dapat kita tingkatkan dan Insya-Allah tahun ini juga kita akan teruskan pengambilan.

"Kita sedang ikhtiarkan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk kita ambil jumlah yang lebih ramai daripada sebelum ini. Kita sedang usahakan. Jumlahnya kita jangka akan lebih dari sebelum Covid-19," katanya kepada pemberita selepas program Wacana Dr Radzi Jidin Bersama Komuniti Orang Asli di Pusat Pentadbiran dan Pusat Komersial Asli, di sini pada Khamis.

Radzi berkata, isu pengambilan guru merupakan antara masalah tertangguh di KPM sehingga mengakibatkan sebanyak 18,702 kekosongan jawatan tidak diisi.

(Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menambah bilangan pengambilan guru secara
'one-off' tahun ini melebihi 5,000 orang/BERNAMA)


Pada 20 Julai lalu, Mohd Radzi memaklumkan KPM telah memperkenalkan kaedah Kluster Mata Pelajaran bagi pengambilan guru secara one-off agar dapat membuka peluang kepada lebih ramai graduan memohon berdasarkan kepada pemetaan ijazah sarjana muda dengan mata pelajaran yang bersesuaian.

"Apabila kita dalami lagi isunya adalah mismatch antara opsyen graduan yang keluar dengan opsyen yang kosong di sekolah.

"Sebab itu kita perkenalkan buat pertama kali dalam sejarah pengambilan berdasarkan kluster mata pelajaran.

"Kalau dahulu graduan pendidikan dalam bidang fizik, dia kena tunggu ada kekosongan opsyen fizik di sekolah baru dia boleh masuk," katanya.

Tambahnya, langkah pengambilan secara one-off yang dilakukan pihaknya telah berjaya mengisi lebih 16,000 daripada kekosongan tersebut.

Media Baharu