KANGAR, 4 Disember- Pengamal media perlu memainkan peranan masing-masing bagi menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat biar pun terdapat pelbagai platform media baharu lain yang semakin berkembang dengan pesat pada masa kini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, tugas pengamal media cetak dan elektronik pada masa ini lebih mencabar terutama dalam melaporkan fakta sebenar di samping menangkis serangan penularan berita palsu di kalangan masyarakat.
Titah baginda, selain memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat tepat, pengamal media turut menjadi penghubung buat kerajaan sama ada di peringkat Negeri mahu pun Persekutuan dalam menyampaikan agenda mahu pun matlamat yang ingin dilaksanakan buat rakyat.
"Saya juga yakin pengamal media khususnya di negeri ini amat memegang kepada etika kewartawanan dalam melaporkan sebarang berita yang ingin disampaikan kepada masyarakat. dalam masa sama, pengamal media juga perlu bersatu-padu dan saling bekerjasama antara satu sama lain dalam menyiarkan laporan berita yang komprehensif buat masyarakat," titah baginda pada Majlis Anugerah Kewartawanan Perlis (MAKPs) 2023 di Dewan Warisan, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan negeri mewakil Menteri Besar, Muhammad Azmir Azizan; barisan exco, ketua-ketua jabatan dan pengamal media negeri ini.
Anugerah yang julung kalinya dianjurkan Persatuan Wartawan Perlis mempertandingkan 10 kategori, antaranya Anugerah Berita Mandarin Terbaik, Anugerah Berita Ekonomi Terbaik dan Anugerah Utama Laporan Terbaik Keseluruhan.
RTM mengungguli Anugerah Berita TV/Radio Terbaik apabila memenangi tempat pertama, kedua dan ketiga menerusi wartawan, Muhamad Sofi Shamsudin, Wan Noor Azley Wan Chik dan Zakiyamani Ahmad bersama jurukamera Badruddin Ramli, Muhamad Zakuan Abd Samad dan Sukairi Azwar Kadir.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pengamal media di negeri ini juga diharap dapat menyebar luas sebarang informasi berkaitan penganjuran Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
“Seperti semua sedia maklum, TMPs 2024-2025 akan mula membuka tirai pada tahun hadapan dan kita perlu terus sama-sama memainkan peranan dalam mempromosikan lokasi-lokasi menarik bagi menggalakkan lagi kehadiran pengunjung luar untuk melancong dan berbelanja di Perlis,” titahnya.