fb fb fb fb fb

Penetapan harga minyak sawit masih dalam kajian - MPOB

KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan membuat kajian mengenai penentuan harga minyak sawit dengan menggunakan sistem sedia atau sistem dua peringkat.

Jelas Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa langkah itu bertujuan melihat kewajaran dan kemampuan harga minyak domestik dan eksport dipadankan dalam sistem satu harga.

"Jawatankuasa sudah dimaklumkan 5.6% minyak dikeluarkan Malaysia untuk tempatan. Daripada jumlah itu, 60,000 tan sebulan disubsidikan kerajaan di bawah subsidi secara paket. Kita akan susuli kebolehlaksanaannya. Kita beri ruang dan peluang MPOB buat kajian sebab akan ada kesan tertentu," kata Annuar semasa sidang media di Parlimen.

Dalam pada itu, beliau turut meminta agensi berkaitan membuat kajian lanjut berhubung keperluan pelaksanaan stok pengimbal ayam bagi tujuan import dan eksport.

Ini memandangkan bekalan dan harga ayam domestik yang kembali stabil.

Dalam perkembangan lain, keputusan mengubah dasar berkaitan eksport ayam, masih belum diputuskan.

Ia bagi memastikan bekalan ayam tempatan terus stabil dan harga kekal di bawah harga siling.

Jelas Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini sedang meneliti sekiranya terdapat keperluan mengeksport ayam.

"Bekalan ayam ada berlebihan dan harga telah mula stabil daripada harga siling namun kerajaan enggan mengubah dasar tersebut supaya bekalan stabil dan harga kekal di bawah siling namun begitu, KPDNHEP sedang meneliti kadar import dan sekiranya terdapat keperluan untuk mengeksport," tambah Annuar.


(Menteri K-KOM yang juga merangkap Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa
berkata demikian ketika di Parlimen hari ini)

Media Baharu