MERCHANG, 10 Julai- Institusi pengajian tinggi, pusat penyelidikan serta syarikat pengendali tenaga solar, digesa bekerjasama dalam menyediakan tenaga pakar dan berkemahiran dalam bidang berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan menggunakan pendekatan baharu dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan penerokaan bidang baharu dengan mengambil alih beberapa pusat TVET, politeknik, jabatan, fakulti di pusat pengajian tinggi untuk melatih pakar tenaga solar yang dapat memenuhi keperluan industri.
"Oleh itu, kalau ada TVET umpamanya di Merchang atau Marang yang berdekatan, saya syorkan harus ada kepakaran daripada Cypark untuk membantu melatih rakan-rakan di TVET di Machang, jadi itu keputusan yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu ini iaitu melihat apa institusi latihan yang ada, TVET dan teknikal.
"Walaupun kita percaya ada keupayaan guru-guru dan pendidik di TVET tapi takkan sama dengan yang mengurus Cypark. Jadi kalau boleh kita utuskan jurutera atau kepakaran di bidang tenaga suria Cypark, dua minggu sekali ataupun seminggu sekali atau mengambil alih satu kelas dan anak-anak dilatih itu akan dijamin untuk terus bekerja dengan Cypark,"katanya.
Beliau berucap merasmikan Loji Janakuasa Solar Hibrid di Merchang, Terengganu.
Loji itu merupakan loji tenaga solar terbesar seumpamanya di negara ini.