GOMBAK, 25 Mac – Penerbit drama dan filem disaran agar lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan karya yang selari dengan nilai Islam, khususnya ketika bulan Ramadan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu dipatuhi kerana ia berupaya membentuk akhlak dan nilai murni masyarakat.
Beliau menegaskan sebarang kandungan yang bertentangan dengan nilai Islam, seperti unsur yang menyokong LGBT, tidak seharusnya ditayangkan, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia.
“Jika ada unsur yang jelas bertentangan dengan Islam, ia tidak sepatutnya dibawa ke dalam drama atau filem, apatah lagi ditayangkan dalam bulan Ramadan.
“Saya menyeru semua penerbit dan penggiat seni untuk mengambil kira tanggungjawab mereka dalam membentuk masyarakat,” katanya selepas menghadiri World #QuranHour 2025 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini.
Menurut beliau, konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan menekankan aspek nilai, akhlak, dan budi pekerti dalam membentuk masyarakat yang bermoral tinggi.
“Oleh itu, semua pihak dalam industri kreatif harus lebih peka terhadap kandungan yang mereka hasilkan agar ia selari dengan nilai Islam dan mampu membentuk masyarakat yang positif serta beretika,” katanya.