
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Malaysia Airlines akan menyambung semula penerbangan pergi-balik ke dan dari Jeddah (JED) serta Madinah (MED) bermula 4 hingga 8 Mac, susulan penangguhan perkhidmatan sejak 28 Februari lalu akibat penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat.
- Malaysia Airlines menyambung semula penerbangan Jeddah dan Madinah dari 4 hingga 8 Mac.
- Penerbangan ke Doha masih digantung sehingga 7 Mac sementara situasi keselamatan dinilai.
- Penerbangan lain seperti London dan Paris kekal beroperasi menggunakan laluan alternatif.
- Penumpang dimaklumkan secara berperingkat dan disarankan kemas kini butiran melalui My Booking.
Perkhidmatan ke Doha (DOH) masih digantung sehingga 7 Mac, sementara syarikat penerbangan berkenaan menilai situasi keselamatan semasa.
Menurut kenyataan Malaysia Aviation Group (MAG), semua penerbangan lain termasuk ke London (LHR) dan Paris Charles de Gaulle (CDG) kekal beroperasi mengikut jadual menggunakan laluan alternatif.
“Penumpang yang terjejas sedang dimaklumkan secara berperingkat dan akan dibantu dengan aturan perjalanan alternatif sekiranya diperlukan.
“Penumpang juga dinasihatkan untuk mengemas kini butiran perhubungan menerusi kemudahan ‘My Booking’ bagi memastikan maklumat terkini dapat disalurkan dengan segera,” katanya menerusi kenyataan itu.
Sebarang bantuan boleh didapati melalui Sembang Langsung di laman web atau hubungi Pusat Hubungan Global Malaysia Airlines pada 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (di luar Malaysia).
Syarikat penerbangan itu menegaskan keselamatan penumpang dan kru adalah keutamaan.
Justeru, langkah proaktif diambil termasuk, laluan penerbangan alternatif, penyelarasan rapat dengan pihak berkuasa penerbangan serta pemantauan berterusan terhadap situasi semasa.