KUALA LUMPUR, 31 Julai -Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan penempatan guru baharu bagi sesi 2025, pada September depan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, proses penempatan dibuat berdasarkan 'Keutamaan Pendidikan' yang mengambil kira kekosongan jawatan serta keperluan opsyen mata pelajaran di setiap negeri.
Katanya, ia bagi memastikan setiap sekolah khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, mendapat tenaga pengajar yang mencukupi dan berkualiti.
"Penempatan guru baharu ditentukan berdasarkan beberapa faktor termasuk pilihan negeri yang dikemukakan semasa proses pengemas kinian tempat-tempat yang ditawarkan. Kedua, penempatan mengikut lokaliti khususnya bagi calon dari Sabah dan Sarawak serta calon Orang Asli Penan, bagi membolehkan mereka berkhidmat berhampiran dengan kampung halaman dan menyokong pembangunan pendidikan luar bandar.
"Dan keputusan akhir penempatan adalah bergantung sepenuhnya kepada kekosongan jawatan sebenar serta keperluan option semasa mengikut keutamaan pendidikan," katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sabak Bernam Kalam Salan di Dewan Rakyat.
Tahun lalu, seramai 5,256 graduan IPGM telah berjaya ditempatkan di seluruh negara.
Tambahnya, kadar penempatan guru baharu yang mencapai 97 peratus itu dipacu hasil kerjasama erat bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.