KANGAR, 27 November -Jumlah penduduk terjejas banjir di Perlis terus meningkat kepada 7,607 tengah hari ini berbanding 7,501 yang direkodkan pagi tadi.
Kesemua mereka ditempatkan di 23 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Padang Besar, Kangar dan Arau.
Berdasarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, kawasan Kangar merekod jumlah penduduk terjejas paling tinggi iaitu 4,590 orang melibatkan 1,349 keluarga.
"Di Arau turut mencatatkan peningkatan kepada 1,738 orang melibatkan 542 keluarga, manakala di Padang Besar mencatatkan sedikit penurunan kepada 1,279 orang daripada 381 keluarga berbanding dengan 1,307 orang mewakili 389 keluarga.
Sebanyak 10 PPS dibuka sekitar Kangar, manakala Arau dengan enam PPS serta tujuh PPS di Padang Besar.
Hasil tinjauan RTM sekitar Kangar mendapati, masih banyak kawasan yang ditenggelami banjir termasuk sekitar Hospital Tuanku Fauziah, Jalan SMK Derma, sekitar laluan Kangar ke Behor Temak dan sekitar Taman Kemajuan.