Penduduk terjejas banjir di Kelantan meningkat kepada 467 orang

BACHOK, 22 November – Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan terus bertambah setakat pukul 7 malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah mangsa banjir meningkat kepada 467 individu, melibatkan 199 keluarga yang ditempatkan di enam PPS di tiga jajahan.
  • Bachok paling teruk terjejas dengan 308 orang (94 keluarga) di dua PPS: SK Pauh Sembilan dan SK Jelawat.
  • Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang kembali ke paras normal selepas berada pada paras berjaga-jaga.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 467 individu melibatkan 199 keluarga kini berada di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga jajahan.

Bachok merekodkan 308 orang melibatkan 94 keluarga yang berlindung di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Sembilan dan SK Jelawat.

Sementara itu di Tumpat, dua PPS dibuka di SK Pengkalan Kubor 2 dan SK Sri Tumpat 2, yang menempatkan 145 individu daripada 75 keluarga yang dipindahkan. 

Di Kota Bharu, dua PPS mula beroperasi iaitu SK Tapang yang menempatkan 22 orang dan SK Parang Puting dengan 21 orang. 

Portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang kembali pada paras normal yang sebelum ini berada pada paras berjaga-jaga (57.09 meter).