TEMERLOH, 19 Oktober- Penduduk di Temerloh termasuk mereka di Kampung Batu Kapor dan Kampung Gajah Mati menyatakan kebimbangan mengenai gelombang kedua banjir ketika mereka mula kembali ke rumah untuk membersihkan kediaman masing-masing.
Tinjauan pemberita RTM mendapati keadaan banjir di kawasan itu telah pulih dan penduduk kini sedang giat mengemas rumah yang tenggelam selama kira-kira lima hari.
Seorang penduduk, Norashikin Sulaiman menyatakan dia dan keluarganya pulang ke rumah untuk mencuci dan mengemas barangan yang terjejas akibat banjir.
"Air semakin surut dan kami sudah mula fasa membersihkan rumah, tetapi kami tetap bimbang akan kemungkinan gelombang kedua banjir. Kami sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga," katanya.
Penduduk lain, Susila Erni Suliman menambah, "Kita tawakal saja, redha kalau ada gelombang kedua. Tengoklah macam mana nanti, barang-barang semua dah siap sedia. Mungkin tak perlu turunkan lagi, biar dulu di atas (tempat tinggi). Kita balik cuci rumah, barang biarkan dahulu."
Nirdawati Suar dan Tarmizi Othman juga menyuarakan rasa bimbang mengenai kemungkinan gelombang kedua banjir, tetapi mereka tetap berusaha untuk membersihkan rumah dan mengikuti arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan perkara tidak diingini.