BATU PAHAT, 7 Mei- Seekor buaya betina seberat 410 kilogram berjaya ditangkap di Kampung Parit Gantong Laut, Taman Nira di sini pagi tadi.
Reptilia sepanjang 4.5 meter itu dilaporkan berada di kawasan kebun berhampiran sebelum berjaya ditangkap oleh penduduk setempat yang kemudiannya memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nur Eddy Paiman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai penemuan buaya itu kira-kira pukul 10.30 pagi.
Operasi menangkap dan memindahkan buaya tersebut turut dijalankan dengan bantuan anggota dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Menurutnya kerjasama pelbagai agensi itu memastikan proses kawalan dan pemindahan reptilia berkenaan berjalan lancar dan selamat.
Buaya berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak PERHILITAN untuk tindakan lanjut mengikut prosedur sedia ada.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan sepanjang operasi dijalankan.