Penduduk di ibu negara kurangkan aktiviti luar rumah

Foto janaan AI

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Penduduk di ibu negara kini semakin cakna dengan fenomena cuaca panas yang melanda apabila suhu harian mencecah antara 33 hingga 36 darjah Celsius.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ramai penduduk mengurangkan aktiviti luar dan menghabiskan lebih masa di rumah semasa musim panas.
  • Sesetengah orang memilih keluar pada waktu malam atau berehat di pusat beli belah yang berhawa dingin.
  • Ibu bapa galakkan anak memakai topi atau bertudung dan membawa air untuk elak masalah kesihatan.
  • Pelancong dan pesara berpendapat cuaca masih okey, sekali gus tidak menjejaskan aktiviti atau percutian.

Tinjauan RTM mendapati orang ramai lebih berhati-hati dalam menjalankan rutin harian bagi mengelakkan cuaca panas yang boleh menjejaskan risiko kesihatan.

Seorang pelajar universiti Iman Natasha Yusry Martin yang ditemui berkata, dia lebih banyak meluangkan masa di rumah sepanjang cuti semester.

“Saya sekarang tengah cuti semester, jadi saya memang banyak menghabiskan masa di dalam rumah sebab cuaca panas. Saya memang kurangkan aktiviti luar rumah,” katanya.

Manakala Setiawati Syafrial pula terpaksa mengehadkan aktiviti luar dan memilih keluar pada waktu malam ketika ingin berkunjung ke rumah saudara sempena Aidilfitri.

Bagi pekerja sebuah syarikat telekomunikasi Mohamad Norislah Mahpip, keadaan panas membuatkan dia memilih untuk berada di dalam pusat beli belah untuk mengurangkan rasa panas.

“Cuaca panas ketika ini memang membuatkan saya masuk ke pasar raya untuk berehat seketika. Beli air dan sejukkan badan sebelum menyambung semula kerja,” katanya.

Sementara itu, Saiful Asri Mohamad Shalan pula berkata, dia mengutamakan kesihatan anak-anaknya ketika berada di luar rumah.

“Sekiranya waktu panas, memang kita akan pakaikan topi bagi lelaki atau bertudung bagi budak perempuan. Selain itu, saya memang galakkan mereka untuk membawa air sekiranya berada di luar rumah.

“Saya turut memantau anak-anak daripada melakukan aktiviti luar terutamanya ketika cuaca panas terik,” katanya.

Bagi pesara Muhammad Sulaiman yang sedang bercuti di Kuala Lumpur menyatakan, cuaca di ibu negara tidak terlalu panas seperti di Perlis.

“Cuaca di Kuala Lumpur tidak begotu panas jika dibandingkan dengan Perlis. Say abaru sampai ke KL semalam. Saya fikir, di Perlis lebih panas berbanding sini,” katanya.

Dalam pada itu, pelancong dari Indonesia Oktaviandi yang ditemui berpandangan keadaan cuaca di Malaysia tidak banyak beza dengan negara itu.

“Cuaca sini masih dalam keadaan baik dan tidak terlalu panas, sekali gus tidak menjejaskan percutian di Kuala Lumpur,” katanya.

Seorang lagi pelancong, Salami Sinaloa berkata meskipun berdepan cuaca panas ketika ini, namun ia tidak menghalangnya daripada terus menikmati keindahan Kuala Lumpur selain melakukan aktiviti bersesuaian.

“Bagi saya di sini masih okey dan cukup bersih. Meskipun cuaca panas, tetapi saya masih boleh melakukan aktiviti yang sesuai ketika ini,” katanya.