fb fb fb fb fb

Pendidikan wajib 11 tahun tingkatkan kualiti pembelajaran murid

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Januari - Usaha Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan pendidikan wajib 11 tahun memberi peluang untuk meningkatkan kualiti pembelajaran murid selaras dengan Akta Pendidikan 1996.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr. Anuar Ahmad menyifatkan langkah tersebut merupakan usaha yang baik dan perlu mendapat sokongan masyarakat, terutama ibu bapa.

“Usaha yang diambil oleh KPM ini adalah satu usaha yang baik yang harus diberikan sokongan oleh masyarakat, khususnya ibu bapa.

"Pendidikan wajib 11 tahun akan memberi peluang kepada anak-anak kita untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik dan berkualiti dalam jangka masa yang lebih panjang, demi memastikan mereka mempunyai pengalaman pembelajaran yang lebih banyak berbanding pendidikan wajib enam tahun,” katanya kepada RTM.

Sementara itu, pakar Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah mencadangkan kajian mendalam dan pelaksanaan berfasa bagi memastikan keberkesanan dasar tersebut.

“Kita sedia maklum bahawa murid di sekolah datang dari pelbagai latar belakang. Ekosistem sekolah memainkan peranan dalam membentuk kesedaran dan sikap mereka terhadap pendidikan.

"Ibu bapa, guru, rakan sebaya, serta infrastruktur sekolah memainkan peranan penting dalam membentuk sikap murid terhadap pendidikan dan peranan mereka dalam mengubah kehidupan,” jelas Dr. Abdul Halim.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN