fb fb fb fb fb

Pendekatan wasatiyyah, asas tangani perbezaan aliran pemikiran

Timbalan Menteri Agama, Senator Dr. Zulkifli Hasan / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Prinsip wasatiyyah terus menjadi asas dalam menangani perbezaan aliran pemikiran dalam kalangan umat Islam di negara ini, selaras dengan Maqasid Syariah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Timbalan Menteri Agama, Senator Dr. Zulkifli Hasan, berkata Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) memainkan peranan penting dalam menyelesaikan isu berkaitan hukum fatwa serta pertembungan pemikiran.

"Antara langkah yang telah dilaksanakan adalah mengukuhkan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui kerjasama dengan institusi agama Islam negeri bagi memastikan pentadbiran Islam selari dengan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"MKI bersidang sekurang-kurangnya tiga kali setahun bagi menyelaras serta menyeragamkan hukum-hukum fatwa untuk dijadikan rujukan di peringkat kebangsaan dan negeri," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof di Dewan Negara, hari ini.

Selain itu, Dr. Zulkifli berkata khutbah Jumaat turut digunakan sebagai medium untuk menyampaikan peringatan dan nasihat kepada umat Islam agar terus mengamalkan sifat wasatiyyah dalam menangani perbezaan pendapat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN