(Radzi Jidin (kanan) melawat ke ruang pameran pada
Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT di Putrajaya hari ini/BERNAMA)
PUTRAJAYA, 20 Ogos- Pendekatan sewa guna bagi perolehan komputer riba dan peranti teknologi lain untuk kegunaan sekolah mampu mengurangkan beban pelbagai pihak bagi menyelenggara peralatan itu sekiranya berlaku kerosakan.
Justeru, bagi mengatasi perkara itu, penggantian komputer di sekolah dilaksana melibatkan tiga fasa bermula awal tahun ini dan dijangka selesai akhir tahun depan.
Demikian menurut Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.
"Fasa pertama telah selesai, hampir 90 peratus selesai melibatkan 3,900 buah sekolah di seluruh negara dengan kos projek bernilai RM411.8 juta, itu fasa pertama.
"Fasa kedua melibatkan 3,455 buah sekolah dengan anggaran nilai projek sebanyak RM460 juta dan fasa ketiga melibatkan baki 3,400 sekolah dengan anggaran projek RM430 juta," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu pada sidang media selepas merasmikan Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT, di sini hari ini.
Ketiga-tiga fasa berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion, manakala pembekalan peralatan dibuat secara pembahagian zon tertentu agar vendor dapat membaik pulih peranti dengan segera sekiranya terdapat kerosakan.
(Radzi Jidin/BERNAMA)
Dalam pada itu, Radzi memaklumkan sebanyak 110 sekolah di seluruh negara akan melaksanakan projek rintis kelas hibrid melibatkan 550 kelas bermula November depan.
Projek itu sebahagian pelan transformasi Kementerian Pendidikan ke arah memperkasa pendidikan digital negara.
"Bilik darjah ini kita kena tingkatkan sambungan internet untuk membolehkan pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara hibrid.
"Ini bermakna guru boleh mengajar dalam bilik darjah dan pada masa yang sama murid boleh terlibat sama dalam proses pembelajaran tersebut dengan lebih aktif.
"Dengan penggunaan laptop dan smartscreen di dalam kelas dan pada masa yang sama juga murid di sekolah lain dapat akses kepada pengajaran yang dilaksanakan oleh guru tersebut," jelasnya.
Menerusi projek rintis itu, ia menyediakan infrastruktur capaian internet berkelajuan tinggi secara menyeluruh dalam bilik darjah.