
SUBANG JAYA, 8 Februari – Kerajaan menegaskan pendirian, sebarang usaha atau seruan memboikot produk atau pasar raya semata-mata atas perbezaan akidah tidak wajar dilakukan, khususnya dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
- Boikot produk atas perbezaan akidah tidak wajar dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
- Semua peniaga mesti diberi peluang adil tanpa mengira latar belakang agama atau kepercayaan.
- Kerajaan tidak menggalakkan tindakan antagonis yang boleh merosakkan keharmonian sosial.
- Amaran bahawa boikot berasaskan agama boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua peniaga seharusnya diberikan peluang yang adil tanpa mengira latar belakang agama atau kepercayaan.
“Saya tidak fikir usaha-usaha yang bersifat antagonis ini perlu dilakukan kerana ia tidak membawa kebaikan. Sebagai sebuah kerajaan yang rasional, kita tidak menggalakkan perkara sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Mega Rahmah Ramadan dan Kasih Syawal di Mydin, di sini, hari ini.
Mengulas dakwaan kononnya pasar raya tertentu mendapat manfaat lebih besar daripada pelaksanaan inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Ahmad Zahid berkata perkara itu telah dijelaskan oleh pihak pengurusan terlibat.
Sebelum ini, pengurusan Mydin menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai sangkaan tidak berasas, sambil menegaskan komitmen mereka untuk terus menyokong peniaga kecil selari dengan aspirasi kerajaan.
Ahmad Zahid turut menyuarakan kebimbangan sekiranya amalan boikot berasaskan agama dibiarkan berlarutan, ia boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“Perkara seperti ini tidak baik untuk sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia. Apa yang lebih penting ialah kita memupuk keharmonian dan saling menghormati,” katanya.