Pendekatan damai mencerminkan kematangan rakyat Malaysia tangani perbezaan

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Kesepakatan 30 wakil badan bukan kerajaan (NGO) daripada komuniti Melayu dan India untuk menyelesaikan kemelut secara damai berhubung isu-isu perkauman, mencerminkan kematangan rakyat Malaysia dalam menangani perbezaan secara berhemah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Selesaikan perbezaan melalui musyawarah dan rundingan, bukan konfrontasi.
  • Perkukuh ruang dialog, literasi perpaduan dan sikap saling menghormati untuk tangani isu sensitiviti agama dan kaum.
  • Cadangan audit, rundingan meja bulat dan jawatankuasa khas bagi mendapatkan data tepat dan menyelaras penyelesaian secara damai.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam satu kenyataan, menyambut baik inisiatif tersebut sekali gus menegaskan sebarang perbezaan hendaklah ditangani melalui pendekatan musyawarah, bukannya konfrontasi.

Beliau berkata dalam konteks semasa, beberapa insiden melibatkan sensitiviti agama dan kaum yang tular di media sosial menunjukkan betapa pentingnya ruang dialog, literasi perpaduan serta sikap saling menghormati terus diperkasa.

“Sejarah telah membuktikan bahawa asas perpaduan negara ini terbina melalui rundingan, tolak ansur dan persefahaman antara pemimpin pelbagai kaum sebelum kemerdekaan dan pembentukan Malaysia

“Hakikatnya, semua agama mengangkat nilai-nilai keamanan, persaudaraan,saling menghormati serta keperluan untuk hidup bersama dalam suasana harmoni”, katanya.

Tambah beliau, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di samping menjamin kebebasan beragama, kewarganegaraan, bahasa kebangsaan serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, tanpa menafikan hak kaum-kaum lain.

Justeru, beliau menegaskan inilah formula unik Malaysia yang perlu terus difahami, dihormati dan dipertahankan semua pihak.

Terdahulu, 30 wakil badan bukan kerajaan (NGO) daripada komuniti Melayu dan India telah mengadakan pertemuan menerusi Program Harmoni MADANI bagi mencari titik pendamaian berhubung isu yang timbul kebelakangan ini.

Menerusi sesi itu, kedua-dua komuniti bersetuju menyelesaikan permasalahan secara damai melalui dialog dan rundingan tanpa pengaruh pihak luar, selain satu audit turut dicadangkan bagi mendapatkan data dan fakta tepat berkaitan isu tanah serta perkara berbangkit lain.

Di samping itu, turut sepakat mencadangkan rundingan meja bulat dan penubuhan jawatankuasa khas di bawah Jabatan Perdana Menteri atau kementerian untuk menyelaras penyelesaian.

Sementara itu, kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan ketegangan perkauman melalui tindakan melampau atau provokatif.

Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 jelas memberi kuasa kerajaan untuk menangani isu sensitif berkaitan kaum dan agama.

Katanya, tindakan penguatkuasaan perlu ditambah baik dan dipertingkatkan.

“Sehubungan itu, agensi penguatkuasaan seperti PDRM dan SKMM mesti mempertingkatkan tindakan secara lebih tegas, pantas dan proaktif bagi membuktikan keberanian moral Kerajaan”, katanya menerusi satu kenyataan.