fb fb fb fb fb

Pendaki warga Perancis maut ketika mendaki Gunung Jasar

(FOTO FB JBPM PAHANG)

CAMERON HIGHLANDS, 7 Ogos - Kegembiraan sekumpulan pelancong mendaki Gunung Jasar bertukar hiba apabila salah seorang pendaki meninggal dunia pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa Marc Antoine Anne Marie, 52 tahun yang berasal dari Perancis tiba-tiba pengsan ketika berada di dalam hutan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.28 pagi yang memaklumkan terdapat seorang pendaki tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti mendaki gunung.

(FOTO FB JBPM PAHANG)

Menurutnya, sepasukan enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands dengan dibantu anggota Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke tempat kejadian bagi operasi menyelamat.

"Tindakan awal yang dilakukan adalah memberi bantuan pernafasan kepada mangsa yang pengsan namun tiada tindak balas. Anggota bomba kemudiannya bertindak membawa mangsa turun dengan menggunakan pengusung.

"Mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di tempat kejadian," katanya.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Media Baharu