fb fb fb fb fb

Pendaki Malaysia dilaporkan maut di Gunung Denali, Alaska

Seorang daripada tiga pendaki rakyat Malaysia yang terkandas pada ketinggian 19,700 kaki di Gunung Denali di Alaska, sejak Selasa lepas ketika membuat pendakian di gunung tertinggi di Amerika Utara itu, dilaporkan meninggal dunia / Foto FB Kelab Alpine Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 Jun - Seorang daripada tiga pendaki rakyat Malaysia yang terkandas pada ketinggian 19,700 kaki di Gunung Denali di Alaska, sejak Selasa lepas ketika membuat pendakian di gunung tertinggi di Amerika Utara itu, dilaporkan meninggal dunia.

Kelab Alpine Malaysia dalam satu hantaran di Facebook hari ini memaklumkan mangsa Zulkifli Yusuf, 37, dilaporkan meninggal dunia pada 6 pagi, 29 Mei (waktu tempatan), semasa berlindung di ‘snow cave’ yang dikenali sebagai ‘Football field’.

“Punca kematian disyaki akibat High Altitud Cerebral Edema dan Hyporthermia dan akan disahkan melalui post mortem.

“Jenazah kini masih berada di tempat kejadian dan proses mengeluarkan jenazah mungkin mengambil masa untuk menunggu cuaca baik,” menurut hantaran itu.

Pihak Konsular Malaysia di Los Angeles juga telah dimaklumkan mengenai perkembangan tersebut dan akan membantu mangsa untuk proses seterusnya.

“Pihak keluarga juga telah dimaklumkan dan kami ingin ucapkan takziah dan mohon rakyat Malaysia mendoakan mangsa,” menurut kelab itu.

Selain itu, hantaran tersebut turut memaklumkan bahawa mangsa kedua Zainudin Lot, 47, telah berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat pada 31 Mei, dan kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Talkeetna, Alaska.

“Keadaan beliau stabil dan mengalami luka beku di kedua belah tangan,” menurut hantaran itu.

Terdahulu, Denali National Park & Preserve dalam satu kenyataan pada 31 Mei mengesahkan pasukan penyelamat mereka berjaya menyelamatkan mangsa pertama daripada tiga yang dilaporkan terperangkap, Muhammad Illaham Ishak, 47, pada 28 Mei.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN