Pendaftaran dalam talian TABIKA KEMAS dibuka April ini

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Proses pendaftaran secara dalam talian bagi kemasukan kanak-kanak ke TABIKA KEMAS akan mula dibuka pada pertengahan April ini bagi sesi persekolahan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendaftaran dalam talian TABIKA KEMAS dibuka pertengahan April 2026 untuk sesi persekolahan 2027.
  • Langkah ini bagi memastikan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 berjalan lancar dan tiada kanak-kanak tercicir.
  • KEMAS memperkemas sistem pendaftaran dan akan keluarkan prosedur untuk memudahkan ibu bapa serta mempertingkatkan kualiti pembelajaran.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man, berkata pendaftaran itu melibatkan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun untuk mengikuti program pendidikan awal kanak-kanak di semua 10,538 TABIKA KEMAS di seluruh negara.

“Proses pendaftaran secara dalam talian bagi TABIKA KEMAS akan mula dibuka pada pertengahan April 2026.

“Ia selepas pendaftaran kanak-kanak berusia enam tahun bagi kemasukan tahun satu di sekolah kebangsaan yang sedang berlangsung sehingga 31 Mac ini ditutup,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, keputusan membenarkan pendaftaran itu dibuat selepas Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Rabu lalu.

Jelasnya, ia dibuat bagi memastikan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang melibatkan pendidikan awal kanak-kanak berjalan lancar mengikut fasa yang ditetapkan.

Katanya, sebelum keputusan itu dibuat, beberapa siri libat urus turut diadakan membabitkan Kementerian Pendidikan serta Kementerian Perpaduan bagi menyelaras pelaksanaan pendidikan prasekolah di bawah ketiga-tiga agensi berkenaan.

Beliau berkata, langkah itu juga bagi memastikan tiada kanak-kanak tercicir daripada mengikuti pendidikan awal akibat kekangan tempat atau kesiapsiagaan sistem semasa.

“Sejak hampir dua bulan lalu, ibu bapa menzahirkan pelbagai pandangan dan kegusaran mengenai pelaksanaan pendidikan awal kanak-kanak.

“Justeru, keputusan ini diharap dapat meredakan kebimbangan mereka selain memastikan akses pendidikan awal terus tersedia kepada kumpulan sasar,” katanya.

Datuk Mohd Hanafiah berkata, KEMAS kini sedang memperkemaskan sistem pendaftaran dalam talian bagi semua TABIKA di seluruh negara bagi memudahkan urusan ibu bapa.

Katanya, arahan pentadbiran Ketua Pengarah juga akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi memaklumkan prosedur pendaftaran kepada semua pihak berkaitan.

Menurut beliau, KEMAS yang mempunyai pengalaman lebih 55 tahun dalam pendidikan awal kanak-kanak akan terus meningkatkan kualiti pembelajaran termasuk melalui pelaksanaan Smart Classroom, program Pra Tahfiz serta TABIKA Tunas Istimewa bagi kanak-kanak berkeperluan khas.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man