fb fb fb fb fb

Pencuri benih kerang berdepan hukuman penjara, denda RM20,000

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 16 Januari - Jabatan Perikanan mengambil serius keluhan dan aduan pengusaha lot kerang berdaftar bawah jabatan itu, berikutan peningkatan aktiviti pengambilan benih kerang di kawasan tapak benih semula jadi kerang serta tapak kerang kultur.

Sehubungan itu Ketua Pengarahnya Datuk Adnan Hussain dalam satu kenyataan berkata, pencuri benih kerang berdepan dengan hukuman penjara dan denda maksimum RM20,000 jika didapati terlibat aktiviti pengambilan benih tidak berlesen.

"Adalah menjadi satu kesalahan bagi sesiapa yang mengambil benih kerang atau kerang dewasa tanpa suatu lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan.

"Lesen akan dikeluarkan apabila saiz kerang mencecah 4mm ke atas melalui notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Perikanan Negeri,” katanya.

Kesalahan mengambil benih kerang boleh disabitkan kesalahan bawah Peraturan-peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002, Seksyen 3(1) dan Sekyen 4(1).

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan mengambil anak kerang atau denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan mengambil benih kerang atau kerang dewasa di suatu tapak kerang semulajadi atau tapak kultur melainkan jika diberikan satu lesen oleh Ketua Pengarah di bawah Peraturan 8.

Adnan berkata tindakan penguatkuasaan membanteras aktiviti kecurian benih kerang oleh nelayan dan penternak tidak berlesen diadakan secara berterusan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain.

"Sepanjang tahun lepas, sembilan kes direkodkan dengan enam sitaan dan tiga tangkapan dengan nilai rampasan sebanyak RM17,185 melibatkan empat negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka dan Pulau Pinang.

"Bagi 2022 pula, empat kes direkodkan melibatkan satu sitaan dan tiga kes tangkapan kerang dengan nilai rampasan sebanyak RM8,500 di tiga buah negeri iaitu Selangor, Perak dan Johor," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan aktiviti kecurian benih kerang berlaku di kawasan tapak benih semula jadi kerang di pantai Sungai Leman, Sekinchan masih berleluasa sejak mula dikesan hujung tahun lepas.

TETITIA YUSOFF