
KULAI, 25 Februari -Dua buah sekolah di sini diarahkan tutup sementara gara-gara pencemaran akibat kebakaran kilang getah dan plastik sejak semalam.
- Dua sekolah di Kulai diarahkan tutup sementara susulan pencemaran akibat kebakaran kilang getah dan plastik.
- Keputusan penutupan dibuat selepas penilaian keselamatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kulai.
- Operasi pemadaman melibatkan JBPM negeri lain serta agensi dan syarikat berkaitan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, penutupan sementara itu berdasarkan penilaian keselamatan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kulai (PKD).
“Sekolah terlibat adalah SJKC Kulai Besar melibatkan 1,353 murid, 71 guru dan lima Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).
“Manakala SJKC Sengkang, 178 murid bersama 16 guru serta tiga AKP,” katanya menerusi satu kenyataan.
Kilang tersebut dilaporkan terbakar sejak petang semalam, sehingga menyebabkan pencemaran asap dan bau.
Operasi pemadaman kebakaran turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri lain selain agensi dan syarikat berkaitan.