fb fb fb fb fb

Pencemaran biotoksin, Negeri Sembilan teliti penternakan kupang

Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN, 7 April- Kerajaan Negeri Sembilan akan meneliti kesan industri penternakan kupang di Port Dickson susulan kes pencemaran biotoksin terhadap ternakan itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, langkah itu diambil sebelum tindakan sewajarnya bagi membantu nelayan dan pengusaha terjejas.

Pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap pengusaha dan nelayan terutama selepas Singapura mengambil tindakan menyekat bekalan dan penjualan kupang dari Port Dickson.

"Industri kupang di Negeri Sembilan tidak besar mana. Kita sedia maklum ia merupakan industri hiliran daripada nelayan untuk tambah pendapatan mereka tetapi kita ingin lihat kesan dia walaupun bilangan tidak ramai tapi kita nak lihat kesan pendapatan hiliran kepada nelayan pantai ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Mantai Rayo 2024 di sini.

Sebelum ini media melaporkan Singapura menyekat bekalan dan penjualan kupang dari Port Dickson kerana didapati mengandungi biotoksin berbahaya.

Dalam pada itu sebanyak 16,000 kilogram daging lembu dibekalkan pada program mantai di seluruh negeri itu kali ini yang dijual dengan harga RM35 sekilogram, iaitu lebih murah daripada harga pasaran.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI