(Pencawang Masuk Utama (PMU) Mid Valley terbakar sekitar 10.27 pagi tadi/FOTO ihsan pembaca)
KUALA LUMPUR, 17 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan kejadian kebakaran di Pencawang Masuk Utama (PMU) Mid Valley sekitar 10.27 pagi, hari ini.
TNB menerusi kenyataan berkata pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat kini sedang dalam usaha memadamkan kebakaran.
"Pasukan teknikal TNB telah pun digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran PMU tersebut menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna di kawasan terhad sekitar Mid Valley dan sebahagian Desa Pantai," menurut kenyataan TNB hari ini.
TNB kini sedang mengenal pasti punca kejadian dan sedang berusaha untuk memulihkan bekalan eletrik kepada pengguna yang masih terkesan insiden tersebut.
"TNB mengambil langkah segera untuk pemulihan bekalan dengan sebahagian pengguna terkesan telah mendapat bekalan pada 10.55 pagi," katanya.
Pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 15454 untuk maklumat lanjut.
"Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini," tambahnya.